Search
Related News
Category :

PKS: Modal, tenaga kerja jadi masalah [ 28-07-2010 ]

KUALA LUMPUR 27 Julai- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka berdepan dengan masalah untuk mendapatkan modal membesarkan perniagaan dan juga kekurangan tenaga kerja akibat permintaan yang tinggi.

"Keyakinan pasaran agak tinggi, semua syarikat mahu menambah tenaga kerja dan modal, jadi ia akan menyebabkan kekurangan penawaran dan mendorong peningkatan kos membuat perniagaan," kata Timbalan Pengarah Urusan Perbankan Komersial dan Pengarah Jualan HSBC Bank Malaysia, Thomas Varughese.

Beliau berkata demikian semasa taklimat media mengenai Kaji Selidik Keyakinan Perniagaan Kecil HSBC di sini hari ini.

Kaji selidik Keyakinan Perniagaan Kecil HSBC mendapati majoriti pengusaha PKS berhasrat untuk menambah perbelanjaan modal mereka sehingga 42 peratus pada tempoh enam bulan akan datang.

Varughese berkata, PKS dijangka terus berkembang tahun ini di sebalik ramalan berlaku gelombang kedua krisis ekonomi pada setengah tahun kedua 2010.

''PKS dan syarikat-syarikat swasta dijangka bersedia untuk menambah pelaburan dalam perbelanjaan modal dan juga buruh pada tahun ini. Ini kerana masih banyak projek di bawah pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM67 bilion sedang dalam pelaksanaan,'' kata beliau.

Varughese berkata, sejak dua tahun lalu, ekonomi Malaysia hanya dipacu oleh perbelanjaan kerajaan kerana gagal untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

"Disebabkan masih banyak projek sedang dilaksanakan sejak dua tahun lalu, ia membolehkan pengaliran wang ke bawah berterusan dan ini memberi manfaat kepada PKS," kata beliau.

Varughese berkata, walaupun terdapat keyakinan tinggi pelabur tempatan tetapi Malaysia masih bersaing sengit dengan negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam ketika ini untuk menarik FDI.

Beliau berkata, Malaysia perlu lebih pantas dalam melakukan transformasi dan memberi lebih penekanan kepada bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Malaysia melakukan pelbagai usaha untuk menarik pelabur tetapi negara-negara jiran juga melakukan perkara yang sama sambil menawarkan sesuatu yang lebih menarik," katanya.

Contohnya, kata Varughese, Indonesia sedang giat meningkatkan kemahiran penduduk dan tenaga kerja tempatan bagi memastikan mereka kekal berdaya saing.

"Kalau kita tengok di Malaysia, 60 peratus daripada pelajar asing di kolej-kolej swasta adalah rakyat Indonesia, mereka belajar Bahasa Inggeris dan kejuruteraan. Ini menunjukkan mereka sedang mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran tambahan untuk menarik FDI," katanya.

     Related News

 more

     Links

      Local Activities

 more

Managed by Mydotnets Sdn Bhd