Search
Related News
Category :

PKS lebih baik jika cukai korporat dikurangkan [ 28-07-2010 ]

KUALA LUMPUR 27 Julai – Alliance Bank Malaysia Bhd. (Alliance Bank) hari ini berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini akan berkembang dengan lebih baik sekiranya cukai korporat dikurangkan.

Setakat ini, cukai korporat yang dikenakan kepada syarikat-syarikat swasta di negara adalah sebanyak 25 peratus.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Perbankan PKS Alliance Bank, Steve K. Miller berkata, diskaun cukai korporat yang menarik akan mewujudkan satu rantaian nilai yang penting kepada negara.

Malah, katanya, ia akan menarik lebih banyak PKS untuk meningkatkan aktiviti dan memperluaskan perniagaan masing-masing di negara ini.

Katanya, cukai yang rendah juga dapat memberi peluang kepada PKS untuk lebih berdaya saing dan menggunakan wang lebihan pendapatan mereka sebagai modal pusingan.

“Cukai korporat yang rendah juga akan mewujudkan lebih banyak PKS dalam industri selain faktor-faktor penarik yang lain,’’ katanya.

Miller berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Seminar bertajuk Rich Biz, Poor Biz- Success and Sustainability di sini hari ini.

Seminar anjuran majalah Money Compass itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe.

Ketika ditanya sama ada cukai korporat di Malaysia gagal menarik pelabur dan PKS berbanding negara-negara lain, Miller menjawab, perkara itu tidak benar kerana kadarnya adalah kompetitif berbanding negara jiran.

“Masih terdapat banyak syarikat pelabur asing, multinasional dan PKS berdaya tahan dan berupaya menjalankan perniagaan di negara ini dan ia menunjukkan satu pencapaian yang baik kerana kerajaan menyediakan banyak kemudahan dan infrastruktur,’’ ujarnya.

Menurut Miller, Alliance Bank turut merancang untuk menjadikan PKS sebagai penyumbang penting kepada bank itu pada tahun ini.

Katanya, pada tahun lalu, segmen PKS menyumbang sebanyak 25 peratus kepada perolehan syarikat.

“Kami akan berkembang melebihi pasaran dalam segmen pinjaman dan pertumbuhan pelanggan PKS. Sekarang, kami berada di laluan yang betul,’’ ujarnya.

     Related News

 more

     Links

      Local Activities

 more

Managed by Mydotnets Sdn Bhd